Tuesday, February 2, 2010

RIWAYAT HIDUP TUANKU NUR ZAHIRAH


Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong XIII, Tuanku Nur Zahirah dilahirkan sebagai Siti Rozita binti Adil Bakeri pada 7hb. Disember 1973 Masihi bersamaan 12 Zulkaedah 1393 Hijrah. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Nicholas Convent, Alor Setar dan Sekolah Menengah St. Nichols Convent, Alor Setar. Baginda pernah mengikuti kursus dalam bidang Sumber Manusia.


Baginda Permaisuri Tuanku Nur Zahirah telah melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 28hb. Mac 1996. Pasangan di-raja ini dikurniakan dengan dua orang putera dan dua orang puteri. YTM Tengku Nadhirah Zaharah telah diputerikan pada 18hb. Disember 1996, YTM Tengku Muhammad Ismail telah diputerakan pada 1hb. Mac 1998, YTM Tengku Muhammad Muaz telah diputerakan pada 22hb. Disember 2000 dan YTM Tengku Fatimatuz Zahra telah diputerikan pada 19hb. April 2002.


Tuanku Nur Zahirah telah dimahkotakan sebagai Permaisuri Terengganu pada 12hb. Julai 1998 dan dikurniakan Darjah Kerabat Terenggan Yang Maha Mulia Darjah Yang Pertama (D.K) pada 16hb. Januari 1999. Baginda Tuanku juga turut dikurniakan Bintang Kebesaran Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji (S.S.M.T.) pada 9hb. Julai 1998. Baginda telah dimahsyurkan dengan kurniaan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah pada 5hb. Jun 2005.


Seri Paduka Baginda Permaisuri Nur Zahirah telah dilantik sebagai Raja Permaisuri Agong pada 13hb. Disember 2006 berikutan perlantikan Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-13.


Baginda Tuanku Nur Zahirah merupakan penaung Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu serta Persatuan Hospis Terengganu. Baginda juga menaungi Persatuan Pandu Puteri Terengganu , Tadika An Nur dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu.


Tuanku Nur Zahirah menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) pada 4hb. Disember 2005, yang disampaikan oleh Canselor KUSTEM, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Majlis Konvokesyen Khas di Dewan Sultan Mizan, KUSTEM, Kuala Terengganu.


Baginda mempunyai minat yang mendalam dalam bidang hiasan dalaman dan mementingkan ruang kemas dengan persekitaran teratur, kemas, sempurna dan bersih. Di samping itu, baginda gemar memasak teruatama hidangan istimewa untuk santapan baginda sekeluarga. Antara hobi baginda yang lain adalah membaca, snorkel dan bermain badminton.